Saya telah menerima banyak permohonan untuk tugas menjaga orang tua. Bila terdapat kekosongan, saya akan menawarkan kerja. Semua jawatan tidak lari dari tugas hakiki menjaga orang tua seperti mandi, menukar lampin, menyuap makanan, memberi ubat dan senaman. Menjaga mengikut rutin dan keadaan semasa. Mereka juga menjaga kebersihan setempat dan membuat pentadbiran kawasan.
Syabas bagi yang istiqomah terus bekerja di sini ada yang melebihi 5 tahun, 3 tahun dan agak lama jika melebihi setahun. Bagi yang mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan khususnya jururawat, pembantu perubatan, fisioterapis, makmal dan sebagainya, pihak pengurusan sentiasa memberi galakan jika ingin melanjutkan pelajaran bahkan memohon jawatan tetap dalam kerajaan mahupun swasta yang menjurus kepada bidang amalan masing-masing. Saya sendiri akan menulis surat sokongan dengan menyatakan kelebihan dan kesungguhan mereka selama bekerja di pusat jagaan ini. Syabas dan tahniah, telah ramai yang menjadikan Husna Arrashid sebagai tempat persinggahan yang dimanfaatkan sepenuhnya. Terima kasih kami kerana telah bertugas di sini dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk warga emas dan pesakit di sini.
Sungguhpun demikian, terdapat beberapa kejadian di mana, kami menerima panggilan telifon daripada ayah dan ibu kepada staf kami dengan mengadu bahawa anak mereka tidak layak untuk melakukan kerja-kerja penjagaan tersebut. Bagi yang jururawat, mereka berpendapat hanya kerja merawat luka, ubat pesakit, prosidur perubatan sahaja. Bagi staf tersebut tidak kekok dengan rutin menjaga orang tua kerana kawan-kawan staf di sini melakukan perkara yang sama. Terdapat juga ibu bapa yang menalifon penyelia dan marah dengan tugasan yang diberikan. Ada yang terus dipanggil balik dan ada juga sekadar rungutan.
Sebilangan ibu bapa atau keluarga juga tidak membenarkan anak-anak mereka datang bekerja. Ini jelas semasa saya menawarkan kerja dan calun meminta tempoh untuk memohon restu orang tua mereka. Ada memberi alasan ayah tak izinkan kerja dengan alasan jauh, ada yang menyuruh kerja lain dan ada berbagai alasan yang menghalang calun-calun melapor untuk bertugas.
Sebagai perbandingan, tugas dan kera-kerja rutin pusat jagaan ini sememangnya tidak popular. Ada yang menolak mentah-mentah. Ada yang setakat sehari dua sahaja mampu bertahan dan tidak kurang juga yang merungut. Ada yang lari dari tugas bila berdepan dengan kes nyanyuk, mental dan keadaan orang tua yang sukar diurus. Bahkan ada yang menuduh pihak pengurusan menipu kerana mereka menyangka yang nyanyuk dan pelupa tu dianggap pesakit mental yang sukar dijaga.
Syukur pada Allah di mana ini semua adalah sebahagian kecil masalah tentang pengambilan pekerja di sini. Walaupun dengan gaji dan elaun serta potongan EPF, SOCSO dan kemudahan sedia ada untuk petugas di sini, namun kami masih menganggap mereka sebenarnya membuat tugas amal dan amat mulia.
Menjaga warga emas atau orang tua banyak cabaran menuntut kesabaran dan semangat serta jati diri. Mereka juga memerlukan sokongan keluarga. Sentiasa la berfikir bahawa kita sendiri tidak tahu bagaimana bila kita tua nanti. Siapa nak jaga?
Encik Rashid