Keperluan penjagaan warga emas atau menjaga orang tua hanya disedari oleh mereka yang berkenaan sahaja. Ada yang tidak terasa kerana mereka tidak mempunyai sebarang masalah. Seharusnya warga emas dijaga sendiri oleh waris-waris mereka. Namun keadaan sebaliknya berlaku bagi yang sebatang kara tanpa waris, masalah waris tidak mampu menjaga akibat kurang upaya dan juga keadaan semasa yang mendesak.
Sejajar dengan perkembangan kependudukan dan keadaan pembangunan keluarga semasa, Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030. !5% daripada penduduk merupakan warga emas. Apabila usia semakin meningkat, keadaan kesihatan semakin menurun, maka keperluan penjagaan dan rawatan juga meningkat. Sudah tentu para waris yang memerlukan perkhidmatan akan mencari dan bertanya. Perhatian terhadap pusat jagaan semakin meningkat di kalangan masyarakat bahkan menjadi topik perbualan dan perbincangan.
Pusat Jagaan Husna Arrashid telah ditubuhkan pada awal tahun 2012 lagi. Sebagai rumah amal yang didaftarkan sebagai entiti perniagaan, cabaran pada pengurusan dan pembiayaan perbelanjaan menjadi satu fokus utama. Masakan tidak, kami tidak boleh mengharapkan sumbangan bahkan mesti menggunakan sumber sendiri dan pendapatan yuran sahaja. Kami jalankan pusat jagaan ini secara privasi penuh.
Selain daripada waris, kami kerap menerima permintaan untuk melawat daripada pihak media, orang perseorangan, NGO dan institusi pengajian tinggi mahupun sekolah. Ini membuktikan bahawa kesedaran terhadap penjagaan warga emas telah meningkat. Namun tidak keterlaluan jika kami nyatakan bahawa tujuan lawatan masing-masing adalah berbeza. Di sini saya terpanggil untuk menulis tentang pihak-pihak lain selain daripada waris yang berminat dengan perkhidmatan kami.
Jika pihak media, saya dapati beberapa dari mereka lebih menjurus kepada kepentingan reputasi yang diselitkan juga percubaan untuk mendapatkan imbuhan daripada kami kerana bantuan pengiklanan. Mohon maaf, kami tidak mampu mengeluarkan belanja sampingan kepada pihak media bagi mengiklankan perkhidmatan kami dengan berselindung di sebalik laporan berita mahupun penulisan dan rancangan siaran.
Orang-orang perseorangan yang bertanya dan cuba datang meninjau pada mulanya ingin menyumbangkan tenaga untuk sama-sama berbakti pada warga emas, namun apabila soalan demi soalan diajukan, mereka sebenarnya berminat untuk membuka pusat jagaan sendiri. Saya amat mengalu-alukan mereka yang sebegini tetapi perlulah dengan semangat dan azam untuk beramal dan membela nasib warga emas. Namun jika pulangan keuntungan yang diharapkan, tolong buat perancangan dan persediaan mental dan fizikal anda. Kerana ia tidak menjanjikan pulangan dalam jangkamasa pendek, keuntungan yang tidak berbaloi dengan usaha dan modal, KECUALI anda sanggup menggunakan mereka bagi mendapatkan simpati orang ramai dengan pelbagai sumbangan dan pertolongan dan pada masa yang sama anda mengenakan caj dan yuran yang tidak setimpal. Terdapat beberapa tempat sebegini telah ditutup dan tidak lagi beroperasi. Yang masih aktif, saya berdoa dan bersangka baik bahawa pendapatan dari yuran yang dikenakan juga sumbangan yang diperolehi digunakan sepenuhnya untuk kebajikan warga emas yang dibawah jagaan.
Saya memohon maaf kepada pihak NGO yang perihatin untuk membantu. Saya mengakui bahawa perjalanan rumah jagaan ini perlu disokong dengan sumber kewangan yang kukuh. Saya berterima kasih kepada mereka yang boleh membaca dan membuat unjuran pendapatan dan perbelanjaan kami – kerana mereka akui memang tiada lebihan untuk ‘business minded’. Kami menghargai kesedaran mereka bahawa dengan pendapatan dari yuran jagaan tidak berbaloi sebagai entiti persendirian jika ditolak dengan belanja pengurusan, gaji kesemua staf jururawat, sewa, bil utiliti dan senggaraan. Namun, kami telah berjanji bahawa kami hanya meminta yuran dari waris atau warga emas yang dijaga dan tidak akan meminta dan menerima sumbangan melainkan keperluan penting yang diluar kemampuan kami. Sebagai contoh, waris bersedekah katil hospital untuk diwakafkan gunasama warga emas yang tidak berkemampuan.
Institusi pengajian tinggi serta sekolah juga kerap kali memohon untuk melawat. Bagi IPT, umumnya tujuan utama adalah untuk pelajar membuat tugasan memenuhi silibus pembelajaran masing-masing dengan memberi kesedaran dan menanam perasaan cintakan warga emas dan mengetahui corak penjagaan terbaik. Sungguhpun demikian, sama ada mereka berkumpulan mahupun perseorangan, tujuan sebenar adalah untuk mendapatkan markah terbaik tugasan masing-masing. Berbeza dengan pihak sekolah, kegiatan melawat warga emas dapat memupuk nilai murni di kalangan pelajar dari peringkat rendah lagi.
Kami memohon ampun dan maaf kepada semua yang berkenaan kerana kami tidak dapat menunaikan permintaan untuk melawat. Rumah Jagaan Husna Arrashid ditubuhkan dengan kesedaran bahawa persepsi masyarakat terhadap penjagaan warga emas masih tidak menyebelahi kami. Hakikat bahawa warga emas perlu dijaga oleh anak atau waris masing-masing telah disalah tafsir dengan menyangkal peranan rumah orang tua. Masyarakat masih menganggap bahawa anak-anak yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua adalah anak derhaka dan perbuatan ini tidak dapat diterima.
Namun sesetengah pihak yang tertekan dengan permasalahan keluarga dan jagaan orang tua serta kesedaran bahawa warga emas lebih baik dijaga oleh pihak ketiga dan itu adalah lebih baik. Mereka masih malu dan ragu dengan tindakan mereka. Lantas, bagi mengelakkan pandangan negatif masyarakat, maka lebih baik penjagaan orang tua mereka tidak diketahui oleh masyarakat tadi. Dan di sini, kami memberikan perkhidmatan kepada mereka melalui konsep jagaan secara privasi. Kami akan mengekalkan polisi rumah jagaan ini tidak akan dibuka kepada umum melainkan kepada waris yang berkenaan dan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas pemantauan.
Bantu saya dalam menukarkan persepsi masyarakat terhadap institusi jagaan warga emas swasta. Saya mengalu-alukan perkongsian jika pihak media, NGO, IPT dan sekolah dapat memahami dan menerima konsep jagaan sebegini demi kebaikan semua warga emas, InsyaAllah.
En Rashid
Pusat Jagaan Husna Arrashid
Nov 2014
You must be logged in to post a comment.